Rabiatul
Adawiyah adalah seorang wali Allah yang mengabdikan dirinya kepada Allah.
Kesabaran dan perjuangannya harus dicontohi oleh wanita Islam hari ini.
Walaupun sejarah hidupnya bermula dari seorang wanita yang tidak mentaati
Allah, akhirnya dia memilih jalan sufi dalam mencari ketenangan hidup.
Kisah bermula
pada zaman dahulu di mana kejahilan menyelebungi masyarakat arab, kebanyakan
sekolah agama telah ditutup. Ayah Rabiatul Adawiyah adalah guru agama, tetapi
terpaksa menjadi pendayung sampan. Untuk menarik minat orang menaiki sampannya
Rabiatul Adawiyah akan mendendangkan lagu yang merdu ketika mendayung sampan.
Rabiatul Adawiyah sentiasa di samping ayahnya hinggalah dia dewasa. Apabila
ayahnya meninggal dunia. dia menggantikan tempat ayahnya sebagai pendayung
sampan dan mendendangkan lagu yang merdu. Mendengarkan suaranya yang merdu itu
menarik hati seorang lelaki untuk membawanya untuk dipersembahkan kepada raja
dan dia terpaksa berkhidmat untuk raja. Setiap hari dia menyanyi dan menuang
arak kepada raja dan tetamu raja.
Suatu hari
timbul kesedaran di hatinya dan merasa insaf dengan segala perbuatannya kerana
kejahilannya itu sedangkan bapanya adalah seorang guru agama. Dari hari itu
Rabiatul Adawiyah tidak mahu lagi menyanyi dan menuang arak. Dia sering duduk
bersendirian berzikir kepada Allah. Dia juga diseksa oleh raja dengan kerja
yang berat. Pernah suatu hari pengawal raja disuruh melepaskan ular dan kala
jengking ke dalam bilik Rabiatul Adawiyah kerana raja tidak senang melihat dia
sentiasa berzikir. Tetapi akhirnya ular tersebut menerkam pengawal raja.
Rabiatul Adawiyah tetap tenang, walaupun dia tidak diberi makan dia tetap mampu
menjalankan ibadat kepada Allah. Apabila raja mengintainya di dalam bilik,
kelihatan dia sedang munajat memohon doa kepada Allah. Di dalam kegelapan
biliknya kelihatan cahaya yang menyuluh ke arahnya. Pada suatu malam raja
bermimpi seorang tua datang dan mengatakan supaya melepaskan Rabiatul Adawiyah
dan jangan lagi menyeksanya, kemudian raja melihat Rabiatul Adawiyah berpakaian
serba putih naik ke atas langit. Beliau terus ke bilik Rabiatul Adawiyah untuk
melihat sama ada Rabiatul Adawiyah masih ada atau sudah pergi. Kelihatan
Rabiatul Adawiyah masih berzikir dan berdoa.
Sampai habis
tempoh masa Rabiatul berkhidmat dengan raja, akhirnya dia dilepaskan oleh raja.
Rabiatul Adawiyah berterima kasih kepada raja dan tidak meminta apa-apa
daripada raja walaupun raja memberi peluang kepadanya untuk meminta apa saja
sebelum dia pergi. Apabila dia pulang ke kampungnya, rumahnya telah roboh dan
penduduk kampungnya juga ramai yang telah berpindah. Dia meminta orang
menyediakan sebuah pondok kecil untuknya. Pada suatu malam, seorang pencuri
terpandang pondok Rabiatul Adawiyah lalu dia ingin pergi mencuri di situ.
Ketika itu Rabiatul Adawiyah sedang solat. Dia tidak menjumpai apa-apa di dalam
rumah Rabiatul Adawiyah melainkan sebiji tempayan. Lalu dia merasa kecewa dan
ingin bunuh Rabiatul Adawiyah. Apabila dia mengeluarkan pisau dan ingin menikam
Rabiatul Adawiyah tiba-tiba dia menjadi keras dan pisaunya terjatuh. Rabiatul
Adawiyah terkejut. Rabiatul mengatakan pada pencuri itu ambillah apa yang dia
inginkan jika dia seorang pencuri tetapi mengapa ingin membunuhnya. Lalu dia
menyuruh pencuri itu mengambil wudhuk dan bersolat serta memohon pada Allah apa
yang dia inginkan. Lalu pencuri itu bersolat dan meminta pada Allah agar
mendapat rezeki yang banyak supaya dia tidak perlu menjadi pencuri lagi.